Pelakon terkenal Korea, Kim Woo Bin dilaporkan mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram selepas selesai menjalani rawatan kanser peringkat pertama baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut agensinya, keadaan kesihatan Woo Bin semakin baik dan dia kini sedang meneruskan rawatan peringkat kedua.

“Kondisinya semakin baik dan dia juga sudah mampu bersenam seperti biasa selepas menjalani rawatan peringkat pertama.

“Pihak kami sedang menunggu keputusan rawatannya yang akan keluar pada pertengahan Ogos depan.

“Kami akan terus memberitahu mengenai kondisinya dan berharap dapat memberikan berita baik untuk peminatnya.

“Walaupun dia menjalani rawatan kimoterapi namun dia tidak mengalami keguguran rambut dan perubahan bentuk fizikalnya juga tidak ketara.

“Kecuali penurunan berat badan dan beratnya kini hanya mencecah kira-kira 60 kilogram,” jelas wakil Sidus HQ seperti yang dilapor portal Soompi.

Woo Bin kini sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap rawatan penyembuhan penyakit kansernya.

Terdahulu, Woo Bin disahkan menghidap kanser Nasopharyngeal pada pertengahan Mei lalu.

Nasopharyngeal merupakan sejenis kanser yang berlaku di antara saluran pernafasan dan tekak.

Bagaimanapun, kanser tersebut dikesan dengan cepat dan masih lagi berada diperingkat awal.

Woo Bin sebelum ini popular menerusi wataknya sebagai Choi Young Do dalam drama The Heir.