Kurang satu jam yang lalu, Astro Gempak telah menerima undangan ke sesi sidang media yang akan diadakan pelakon dan penyanyi kontroversi, Aliff Aziz.

Menerusi aplikasi ‘Whats App’, wakil daripada pihak Alif memberitahu artis berasal dari Singapura itu bakal menjelaskan semua isu membabitkan dirinya.

Ketika ditanya samada Alif akan datang bersama peguam, wakil tersebut hanya menjawab “tidak pasti” kerana tugasnya cuma menghantar undangan.

Aliff sebelum ini ditahan polis pada Jumaat lalu atas dakwaan mengasari isterinya, Bella Astillah yang masih dalam pantang 20 hari, di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras, pada Khamis lalu.

Akibat pergelutan itu, Bella mendakwa mengalami luka pada bahagian muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku oleh Aliff.

Pelakon itu ditahan selepas Bella, 23, membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul oleh Aliff.

Aliff kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.