Penyanyi Datuk Sheila Majid meluahkan rasa syukur ekoran tiket konsertnya yang bakal berlangsung minggu hadapan sudah habis terjual.

Kata penyanyi lagu Sinaran itu, dia sangat gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminatnya dari dalam dan luar negara.

"Saya sangat gembira kerana sambutan luar biasa yang diberikan. Alhamdulillah," katanya kepada Astro Gempak.

Sheila akan mengadakan persembahan Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 pada 5 Ogos depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Konsert itu merupakan konsert solo pertamanya dalam skala besar selepas tempoh tujuh tahun.

Kali terakhir Sheila mengadakan persembahan di Stadium Negara menerusi konsert Legenda pada tahun 1991.

Manakala, kali terakhir Sheila mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2010.

Sementara itu, menurut Pengarah Serantau IME Malaysia selaku penganjur konsert itu, Howard Kong, pihaknya bersyukur dengan sambutan yang diberikan.

"Datuk Sheila Majid merupakan artis Malaysia pertama yang menarik perhatian pihak penaja untuk menganjurkan konsert ini. Kami gembira dengan sambutan yang diberikan," katanya.

Tiket konsert Sheila dijual dari harga RM98 hingga RM888 sejak 14 April lalu.


Teks oleh: Amri Hassan