Penyanyi Dayang Nurfaizah akui sudah bersedia untuk mempunyai teman hidup selepas menyedari usianya kini menginjak ke 36 tahun.

Dayang berkata dia bukan tidak mahu mempunyai kekasih tetapi lelaki yang tidak mahu mendekatinya dan cuba berkenalan dengannya.

"Bila orang tanya bila nak kahwin, baru saya sedar dan terfikir mengenainya.

"Saya kalau boleh nak ada teman lelaki tahun ini.

"Yelah siapa yang tak mahu kahwin? Umur pun dah 36 tahun ini.

"Sebagai wanita, kadang-kadang tu seronok juga bila lihat orang sekeliling semua dah kahwin dan berteman, terfikir pula bila lah saya nak macam tu.

"Terus-terang setakat ni tiada siapa atau mana-mana lelaki yang cuba dekati saya. Saya pun pelik.

"Saya pinta lelaki jangan lah takut dekati saya, saya tak makan orang lah!" katanya berseleroh kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Lelaki Teragung itu ditemui di rumah terbuka syarikat rakaman dan pengurusan Indigital di Restoran D' Empangan Udang Galah, Putrajaya malam semalam.

Di majlis yang sama pihak Indigtal telah menyambut ulang tahun kelahiran penyanyi itu yang jatuh pada 20 Julai, esok.

Sementara itu, Dayang memberitahu dia tidak tertekan apabila ditanya soal kahwin atau teman hidup kerana dia akui beruntung kerana keluarganya tidak pernah memberi tekanan kepadanya.

"Bila setiap kali balik Raya tu tipulah kalau tiada yang bertanya bila saya hendak
kahwin,namun saya anggap itu biasa sahaja dan cuba jawab dengan beradab.

"Manakala keluarga saya pula terutama ibu bapa saya tidak pernah tanya bila mengenainya malah mereka masih anggap saya muda lagi untuk berumahtangga.

"Mereka kata tak perlu tertekan dan suruh saya cari duit sahaja dulu kerana jodoh itu datang juga suatu hari nanti, insyaAllah," katanya lagi.

Dayang baru sahaja muncul dengan album terbaharu yang memuatkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta, Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan banyak lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal