Pelakon drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Hanez Suraya Abdul Aziz, 32, menjelaskan perkahwinannya bersama suami, Romie Razin Aidilha Abd Jais, 37, berada dalam fasa bahagia.

“Rumah tangga saya bahagia. Saya sendiri pelik mengapa timbul gosip yang mengatakan rumah tangga kami dilanda badai.

“Kadang-kadang berita tersebut boleh membuatkan saya dan suami bergaduh betul-betul pula. Saya dan suami malas melayan cerita sebegini. Alhamdulillah, perkahwinan kami baik-baik sahaja.

“Saya dan suami turut mempunyai perancangan untuk menambah bilangan cahaya mata dalam masa terdekat. Usia pun semakin meningkat, jadi kami berharap rezeki berpihak kepada kami, Insya-Allah,” kata Hanez ketika ditemui di majlis rumah terbuka yang diadakan di kediamannya di Shah Alam pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut, hampir 500 orang tetamu yang hadir memeriahkan majlis. Pasangan itu turut menjemput dan meraikan 100 orang anak yatim dan pelajar tahfiz.

Dalam perkembangan terbaru, Hanez kini berjinak-jinak dalam perniagaan tudung jenamanya sendiri, Everyday KL.

“Saya menjualnya menerusi laman Instagram @everyday_kl. Syukur kerana bisnes yang saya jalankan ini mendapat sambutan yang hangat biar pun saya baru sahaja menceburkan diri.

“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, saya mempunyai perancangan untuk memajukan lagi bisnes hijab ini,” katanya lagi.

Hanez dan Romie sah bergelar suami isteri pada 25 Mac 2015. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya yang berusia setahun.

Teks oleh: Kamaruddin Razal