Filem lakonan aktres Janna Nick, Kerja Kahwin bakal ditayangkan pada 20 Julai ini di pawagam seluruh Malaysia.

Ketika majlis sesi ramah mesra serta tayangan khas filem Kerja Kahwin yang diadakan pada Rabu lalu, kelibat Janna tidak kelihatan.

Penerbit eksekutif filem Kerja Kahwin, Zabir Suliman dan Dr. Liza Marwati Mohd Yusoff memaklumkan Janna tidak dapat menghadirkan diri ke majlis tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Ya, Janna memang tidak dapat menghadirkan diri ke majlis ini kerana dia mempunyai komitmen lain. Janna memang sudah memaklumkan kepada pihak produksi yang dia memang tidak dapat terlibat dengan sesi ramah mesra yang diadakan pada hari ini kerana sudah terikat dengan jadual yang padat.

“Biarpun tidak dapat hadir ke sesi ramah mesra kali ini, Janna memberikan komitmen dan kerjasama yang baik. Janna bersama kelab peminatnya sudah mula mempromosikan filem ini di laman sosial.

“Insya-Allah pada malam tayangan perdana filem Kerja Kahwin yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini, Janna akan menghadirkan diri,” kata Liza kepada Astro Gempak.

Mengambil masa dua tahun sebelum menemui peminat di panggung wayang, penerbit eksekutif filem ini turut menjelaskan mengapa filem Kerja Kahwin lambat ditayangkan.

“Kerja Kahwin dihasilkan pada tahun 2015. Selepas dua tahun, filem ini bakal menjengah pawagam. Kami sebagai penerbit eksekutif mengakui Kerja Kahwin mengambil masa yang agak lama.

“Kami sendiri mempunyai kurang pengalaman dalam dunia perfileman dan Kerja Kahwin merupakan filem sulung yang kami terbitkan. Kami masih belajar selok belok dalam industri perfileman. Biarpun lambat, kami bersyukur akhirnya Kerja Kahwin bakal menemui peminat filem.

“Apa yang menarik, filem ini telah terlebih dahulu menemui penonton luar negara ketika dijemput untuk ditayangkan di Festival Filem Asia Capri di Itali serta One Country One Film di Perancis pada tahun 2016. Kami tidak sabar untuk menanti reaksi penonton di pawagam,” kata Zabir pula.

Filem yang berkisarkan mengenai Farah (Janna Nick) yang sedang melakukan persiapan untuk melangsungkan perkahwinan. Menariknya, semua persediaan dilakukan secara tradisional.

Jangan lupa saksikan Kerja Kahwin lakonan Janna Nick, Datuk Rosnani Jamil, Shaharuddin Thamby, Syed Ali dan ramai lagi di pawagam bermula 20 Julai ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal