Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vanganza 3, Zarul mengakui bukan mudah untuk mengekalkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 44, dia harus berfikir ke depan dan mempunyai perancangan yang rapi agar namanya akan terus kekal relevan.

"Alhamdulillah, sekarang ini kerjaya saya berjalan dengan lancar dan saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berada dalam industri.

"Dunia seni ada turun naiknya dan saya sedar tentang perkara itu.

"Jadi saya kena pandai menyusun strategi untuk kekal dalam industri yang sentiasa mempunyai banyak bakat baharu.

"Saya cuma harus kekalkan momentum saya sekarang ini agar dapat terus bernafas dan merebut peluang yang diberikan," katanya kepada Astro Gempak.

Zarul ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Indigital Sdn Bhd dan program Ramadan Muzik-Muzik di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Zarul, dia tidak mahu terlalu selesa dengan kejayaannya sekarang ini dan bersyukur rezekinya sentiasa dipermudah.

"Saya bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang ini dan berharap agar dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi