Penyanyi, Kaka Azraff akui bahawa untuk bergandingan bersama ratu rock negara, Ella, merupakan cabaran utama buat dirinya.

Kaka atau nama penuhnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 28, sedang dalam perbincangan untuk merakam lagu duet bersama Ella, yang juga merupakan ibu saudaranya.

Menurut Kaka, bukan mudah untuk dia berdiri sama tinggi dengan penyanyi rock itu memandangkan Ella merupakan seorang lagenda dan memiliki auranya tersendiri.

”Kami masih lagi dalam proses perbincangan dan mencari bahan yang terbaik untuk lagu duet ini.

”Saya juga perlu pastikan kami dapat ’material’ yang sesuai untuk suara Kaka dan Ella supaya ianya mendapat sambutan hebat daripada peminat.

”Kalau boleh saya nak lagu yang boleh gabungkan antara muzik rock dan pop. Tetapi masih belum jumpa melodi yang diinginkan.

”Selain itu, Ella juga adalah cabaran besar untuk saya.

”Antara yang menjadi kerisauan adalah dapatkah saya berdiri sama tinggi dengan Ella kerana dia memiliki aura yang tersendiri.

”Dan saya percaya jika tidak memilih lagu yang sesuai, tidak mustahil untuk Kaka tenggelam apabila berduet bersama Ella nanti,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Kaka turut berkongsi bahawa sepanjang bulan Ramadan ini, dia sedang sibuk dengan pembikinan album pertamanya.

”Sepanjang bulan puasa ini saya lebih sibuk berada di studio rakaman bagi merakam ’single’ terbaru yang bakal dilancarkan selepas raya nanti.

”Selain itu, saya juga tidak sabar untuk menyiapkan album pertama bertajuk ’Kembali’ yang akan dilancarkan hujung hujung tahun ini,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Pretty Suci, di hotel The Stripes, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Kaka juga bakal mengadakan ’mini tour’ bagi mempromosikan album tersebut di lokasi-lokasi tertentu yang akan diumumkan kelak.

Teks oleh : Izzat Ridzwan