Pelakon Nora Danish mengakui berat badannya naik sehingga tiga kilogram (kg) selepas berkahwin dengan Nedim dua bulan yang lalu.

Nora berkata, Nedim seorang suami yang suka memasak dan masakannya yang terlalu sedap menyebabkan dia tidak mampu untuk mengatakan ‘tidak’ kepada setiap hidangan disediakan.

“Bukanlah saya hendak puji suami sendiri, tetapi Nedim memang chef yang terbaik! Macam-macam yang dia masak dan semuanya saya makan sampai muka pun dah nampak tembam.

“Tapi, tak baik pula saya salahkan Nedim sebab saya juga bersalah kerana malas nak bersenam dan dah lama tak pergi gim,” katanya ketawa.

Bagaimanapun tambah Nora, kepakaran Nedim memasak bukan lesen kepada dirinya untuk tidak ‘turun’ ke dapur.

“Saya bersyukur memiliki seorang suami seperti Nedim yang memang handal di dapur. Tetapi itu tidak bermakna yang saya ini tak payah memasak untuk suami.

“Nedim suka makan sambal ayam yang saya masak, tetapi bila dia pula yang buat sambal ayam...sambal ayam dia lebih sedap daripada saya...Ha! macam mana? Haha...

“Sekarang ini pun saya dan keluarga sudah jarang makan di luar kerana Nedim,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nora bakal muncul dengan filem The Secret Life of Pets versi bahasa Malaysia yang akan ditayangkan pada 25 Jun ini di saluran HBO.

Nora meminjamkan suaranya untuk watak Gidget dan ia turut menampilkan barisan selebriti lain seperti Hisyam Hamid, Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Fahrin Ahmad, Juliana Evans dan ramai lagi.