Penyanyi baru, Ismail Izzani berhasrat mengambil kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyiannya.

Menurut Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal, 17, dia mahu mempelajari cara pengawalan pernafasan dan teknik vokal dengan betul.

“Saya masih lagi rasa ada kekurangan dalam teknik nyanyian sebab sebelum ini tidak pernah masuk mana-mana kelas vokal.

“Saya hanya belajar dengan cara mendengar dan mengikuti teknik nyanyian menerusi Youtube.

“InshaAllah, saya akan mengambil kelas vokal kerana saya rasa perkara itu sangat penting selepas bergelar penyanyi. Sekurang-kurangnya dapat juga memperbaiki kelemahan saya.

“Lagipun apa yang saya lakukan ini bukan untuk orang lain tetapi diri sendiri. Saya mahu menjadi penyanyi yang lebih baik daripada sekarang,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, Ismail bakal muncul dengan sebuah lagu baru bersempena Aidilfitri yang berjudul Raya Nusantara.

Menerusi lagu tersebut, Ismail akan bergandingan dengan Siti Nordiana dan dua penyanyi Indonesia iaitu Rezki Fabian dan Fatin.

Teks oleh: Mya Amri