Pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad kini meluaskan ruang lingkup kerjaya seninya dengan pembabitan secara langsung selaku penerbit bagi sebuah rancangan terbaru berkonsepkan sitkom yang berjudul Bas Stop.

Bas Stop merupakan sebuah sitkom yang mengetengahkan isu semasa berkaitan kehidupan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.

Berdurasi selama 30 minit, setiap episod membawa mesej yang tersendiri dan disampaikan dalam suasana santai.

Semua kisah yang dipersembahkan dalam sitkom yang dibintangi oleh Ebby Yus, Sherry Alhadad, Ippo Hafiz, Angah Raja Lawak dan Nabil Ahmad sendiri ini mengambil latar belakang suasana di ibu kota, di sekitar stesen menunggu bas dan sebuah gerai jualan kecil di sebelahnya.

Uniknya program ini, setiap selebriti undangan akan dibawa masuk ke studio rakaman menggunakan bas persiaran.

“Bagi program Bas Stop yang diterbitkan oleh Nabil ini, isu yang dikupas pada setiap minggu merupakan isu yang dekat dengan hati masyarakat seperti isu kehilangan kanak-kanak, gelandangan, fenomena viral dan sebagainya.

“Setiap isu yang diketengahkan diolah dalam bentuk sketsa komedi secara santai oleh lima watak utama dan seorang selebriti undangan.

“Kekuatan utama sitkom ini terletak pada kandungan program iaitu isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat,” kata Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Warna.

Jangan lupa saksikan program sitkom terbaru, Bas Stop yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 9 Jun 2017 pada jam 11.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (saluran 124) serta di aplikasi Astro Go dan On Demand.

Teks oleh: Kamaruddin Razal