Pendatang baru kelahiran Singapura, Harris Baba mengakui bidang lakonan membantu dirinya untuk memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu.

"Saya akui penguasaan Bahasa Melayu saya agak terhad sebelum datang ke Malaysia. Sebelum ini di Singapura, saya pernah berlakon tetapi saya menggunakan Bahasa Inggeris.

"Apabila saya menerima tawaran lakonan di Malaysia, penuturan dialog dalam Bahasa Melayu menjadi cabaran terbesar saya.

"Sebagai pendatang baru, saya harus banyak belajar teknik lakonan dan pada masa yang sama, saya harus memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu," kata Harris kepada Astro Gempak.

Membintangi drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang bakal bersiaran di Astro Ria pada Disember ini, Harris mendedahkan semua pelakon senior banyak membantunya di set penggambaran.

"Saya rasa sangat terharu kerana sebagai pendatang baru, ramai pelakon senior tidak lokek berkongsi ilmu dan membantu saya dalam bidang lakonan," katanya ketika ditemui di sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 31 pada Selasa.

Harris berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 31 menerusi lagu Katakan, ciptaan sepenuhnya oleh Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong.

"Alhamdulillah, sebagai penyanyi baru, saya tidak menyangka lagu ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir. Persaingan sangat hebat dan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk mereka yang menyokong saya," katanya lagi.

Selain lagu Katakan, Separuh Akhir Muzik Muzik 31 akan turut menyaksikan 29 lagu lain bertanding untuk merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 31 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Saksikan Separuh Akhir Muzik Muzik 31 yang bersiaran secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 4 dan 11 November ini bermula jam 9.00 malam di TV3.

Teks oleh: Kamaruddin Razal