Pelakon Ben Amir menganggap perbezaan usia antara dirinya dan aktres Intan Ladyana tidak menjadi halangan dalam mencipta keserasian.


Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 27, beraksi disamping Intan, 35, dalam drama bersiri terbaru berjudul Semusim Rindu.


"Saya tak merasakan perbezaan umur menjadi penghalang kami untuk mencipta keserasian. Menerusi Semusim Rindu, saya memegang watak sebagai Ikman dan Intan pula memegang watak heroin bernama Hajar.


"Sebagai seorang senior, Intan banyak membantu saya di set penggambaran. Semuanya berjalan lancar dan saya berharap agar drama bersiri ini mendapat sambutan," kata Ben kepada Astro Gempak.


Tambah Ben, dia juga gementar kerana drama ini sudah mempunyai peminat tersendiri biarpun belum ditayangkan.


"Drama bersiri ini merupakan adaptasi novel karya penulis bernama Aleeya Aneesa. Novel ini sudah mempunyai peminat tersendiri.


"Semestinya ramai pembaca novel menantikan hasil adaptasi buku kegemaran mereka. Saya rasa gementar kerana takut tidak dapat memuaskan hati peminat. Apa pun, saya sudah buat yang terbaik dan akan menantikan reaksi peminat," kata Ben lagi.


Drama bersiri ini bakal bersiaran sempena kedatangan bulan Ramadan. Saksikan Semusim Rindu bermula 29 Mei, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang di Astro Prima dan Astro Maya HD.


Teks oleh: Kamaruddin Razal