Bekas juara Akademi Fantasia (AF2015), Sufi Rashid akui tidak kisah namanya kurang dikenali berbanding rakan seperjuangannya, Syamel.

Sufi berkata dia tidak mencemburui kejayaan sahabat-sahabatnya sebaliknya percaya pada kepada rezeki.

“Lambat atau cepat popular itu bergantung kepada rezeki masing-masing dan tidak sedikit pun terlintas dihati untuk rasa cemburu dengan kejayaan mereka.

“Contohnya Syamel, saya akui lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna nyanyiannya memang meletup dan itu rezeki dia.

“Orang selalu kata saya dan Syamel bertanding antara satu sama lain. Sebenarnya tidak dan saya pun tak pertikaikan populariti dia.

“Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain dan saya bangga dengan dia. Bila dia gembira saya pun sama.

“Lagipun kami dah umpama adik-beradik sejak masuk AF2015 lagi. Buat apa nak dengki, yang penting usaha dan jangan putus asa,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai lagu terbaru berjudul Aku Sanggup, Sufi meluahkan rasa gembira kerana lagu tersebut diterima peminat.

“Alhamdulillah, dapat sambutan yang menggalakkan dan saya pun tak sangka lagu itu akan menjadi siulan ramai.

“Rasa seronok dan teruja tapi dalam masa yang sama rasa gementar juga sebab pasti orang akan meletakkan harapan yang tinggi ketika melihat persembahan live.

“Saya rasa ini merupakan rezeki untuk tahun ini dan saya pun sedang membuat persiapan untuk single baru nanti,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri