Tiket konsert ratu jazz negara, Dato’ Sheila Majid telah terjual sebanyak 80 peratus walaupun tarikh konsert masih berbaki tiga bulan.

Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 dijadualkan bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos 2017.

Sheila atau nama penuhnya Shaheila Binti Abdul Majid, 52, akui dirinya teruja untuk bertemu peminat menjelang konsert ini.

“Saya sebenarnya teruja tapi dalam masa yang sama sedikit gementar.

”Saya tak sabar nak lihat penonton berseronok pada malam itu nanti.

”Jadi saya mohon supaya siapa yang teringin nak lihat saya beraksi di pentas yang gah itu, cepat-cepatlah dapatkan tiket sebelum habis dijual,” kata Sheila kepada Astro Gempak.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran itu turut ditanya adakah dia merancang untuk menambah hari persembahan sekiranya mendapat sambutan hangat.

”Memang ada peminat yang mula bertanya sama ada saya akan menambah hari persembahan konsert tersebut dan jawapan saya adalah tidak.

”Bukan tak mahu, tetapi untuk menambah hari persembahan, ianya akan melibatkan lebih banyak kos dan juga komitmen.

”Banyak perkara yang perlu diambil kira termasuklah kemampuan tenaga saya sendiri,” ujarnya ketika ditemui media.

Dato' Sheila Majid ditemui pada majlis sidang media pengumuman konsert Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 di hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur semalam (Rabu).

Menjelang konsert mega ini, Sheila turut berkongsi bahawa dirinya sudah mula membuat persediaan awal dari segi vokal dan fizikal.

”Pada malam itu nanti saya akan menyanyikan 40 buah lagu, oleh itu saya harus kekal bertenaga.

”Saya memang dah mula dengan persediaan fizikal terlebih dahulu dan bersempena dengan bulan puasa ini, saya akan tetap bersenam bagi menjaga stamina.

”Selain latihan fizikal, saya juga akan mula berlatih vokal pada minggu kedua Ramadan.

”Dan saya berharap menjelang konsert itu nanti, tenaga ini akan terus berkekalan untuk memberikan yang sehabis baik kepada peminat,” jelas Sheila yang bakal sibuk dengan jadualnya sepanjang Ramadan.

Peminat boleh mendapatkan tiket konsert yang dijual bermula RM98 hingga RM888 menerusi laman web www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian +603 9222 8811.

Teks oleh : Izzat Ridzwan