Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay akui mengambil kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyiannya.

Menurut Liyana, dia tidah mahu kebolehannya untuk menyanyi dipertikaikan sepertimana kemunculan pertamanya sebagai penyanyi dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

“Dah hampir tiga tahun saya menyepi tanpa sebarang single dan kali ini sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk lagu terbaru Oh Na Na dan Selesa Tanpa Mu.

“Sebab itu saya ambil inisiatif masuk kelas vokal secara peribadi untuk mengasah kembali suara memandangkan dah lama tak menyanyi.

“Saya tidak mahu orang memperlekehkan bakat nyanyian saya atau anggap saya menyanyi hanya sekadar suka-suka.

“Lagipun tak salah untuk terus belajar, sekurang-kurangnya dapat memperbaiki kelemahan dan juga teknik vokal dengan betul,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik Oh Na Na bertempat di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Liyana lagi selepas mengikuti kelas tersebut dia sendiri telah merasai perubahan positif pada vokalnya.

“Alhamdulillah, selepas mengambil kelas saya sendiri rasa perubahan positif pada teknik nyanyian saya.

“Mutu nyanyian dan tahap vokal saya juga lebih baik dan ini membuatkan saya rasa lebih konfiden untuk menyanyi selepas ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Liyana juga turut merancang untuk mengadakan konsert mini di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta pada bulan Disember ini.

BACA: ULAR & CUACA PANAS CABARAN UTAMA MUZIK VIDEO OH NA NA LIYANA JASMAY

Teks oleh: Mya Amri