Pelakon dan pengacara Anis Al-Idrus mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim, 35, pada 7 Julai ini.

Anis atau nama penuhnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 29, membuat pengumuman tersebut di De'Laman Event Space and Wedding, Bukit Jelutong sebentar tadi.

"Majlis tersebut akan diadakan secara tertutup dan ringkas, khas buat keluarga, sahabat serta rakan-rakan media.

"Meskipun perkenalan kami singkat, namun ia tidak menjadi masalah untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

"Mungkin sikapnya yang baik membuatkan saya jatuh hati dan saya juga sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri.

"Saya berharap agar orang ramai dapat mendoakan majlis ini akan berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya kepada Astro Gempak.

Rafzan yang berasal dari Perlis merupakan seorang pereka hiasan dalaman mula rapat pada Januari lalu selepas dikenalkan oleh rakan baiknya yang juga adik kepada pemuda itu.

Mereka kemudiannya mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi