Penyampai radio Era, Radin akui bersyukur dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH 3.0) baru-baru ini.

Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy berkata dia menggangap kemenangan tersebut sebagai rezeki yang sudah tertulis.

"Sebenarnya tiada istilah saya menewaskan Johan atau nama-nama besar yang lain kerana ini merupakan rezeki saya pada tahun ini.

"Mungkin ini semua hasil usaha keras saya pada tahun lalu dan ia ternyata membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai pemenang.

"Saya juga menghormati semua yang disenaraikan dalam top five kerana mereka adalah idola saya sebagai penyampai radio.

"Sejujurnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang kerana bagi saya yang akan menangi anugerah ini adalah Dj Lin ataupun Johan," katanya kepada Astro Gempak.

Radin ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Radin, dia ingin berterima kasih kepada kelab peminat yang diberi nama Official Radin Rangers kerana menyokong kerjaya seninya selama ini.

"Kemenangan ini sebenarnya untuk kelab peminat kerana tanpa mereka yang mengundi siapalah saya," katanya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi