Tidak mengulangi kejayaan tahun lalu, penyanyi Ayda Jebat tetap bersyukur walaupun hanya meraih satu trofi di malam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017).

Tercalon dalam empat kategori, Ayda hanya membawa pulang trofi Lagu MeleTOP menerusi lagu Pencuri Hati.

Penganjuran AME tahun lalu menyaksikan Ayda membawa pulang lima trofi termasuk kategori utama, Artis Top Top MeleTOP Wanita.

"Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa penuh kesyukuran walaupun hanya membawa pulang satu trofi. Bukan rezeki saya untuk mengulangi kejayaan tahun lalu. Terima kasih kepada AJ Screamer yang mengundi.

"Sejujurnya, saya langsung tidak pernah meletakkan harapan apabila nama saya tersenarai dalam mana-mana pencalonan anugerah. Menang kalah adat pertandingan, mungkin tahun ini bukan rezeki saya. Apa yang penting, tahun ini pastinya mereka tidak boleh mengatakan yang AME merupakan anugerah Ayda Jebat," seloroh Ayda.

Tambah penyanyi lagu Nakal Nakal Nakal ini, kemenangan atau kekalahannya dalam sesebuah acara anugerah menjadi pembakar semangat untuk dirinya bekerja dengan lebih keras.

"Menang atau kalah, saya tolak ke tepi. Saya tahu peminat saya, AJ Screamers telah berusaha sehabis daya untuk mengundi, tetapi saya percaya bukan rezeki saya.

"Sama ada membawa pulang trofi atau tidak, saya tetap akan terus berusaha dengan lebih gigih. Menang atau kalah menjadi pembakar semangat untuk memberikan usaha berganda buat peminat yang tidak henti menyokong," katanya lagi.

Anugerah MeleTOP ERA 2016 dihoskan oleh Johan, Nabil Ahmad dan Neelofa bersiaran secara langsung pada Ahad lalu di Stadium Melawati, Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104), serta siaran serentak di Ria HD (saluran 123) bermula jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal