Aktres Miera Leyana tidak kisah jika digandingkan untuk berlakon bersama bekas kekasihnya, aktor Shahrizal Jaszle.

"Saya dan Shahz okay sahaja. Saya dah move on dan saya rasa dia juga tidak menyimpan apa-apa perasaan.

"Industri ini kecil sahaja, pusing-pusing kami pasti akan bertemu kembali. Saya juga tak kisah jika kami digandingkan semula dalam mana-mana filem atau drama," kata Miera.

Miera dan Shah bergandingan dalam filem terbaru Mamat Khalid, Lebuhraya Ke Neraka yang penggambarannya dijalankan enam tahun lalu.

"Ketika kami bergandingan dalam filem ini, saya dan Shahz sedang mengenali hati budi dan masih belum bercinta. Selepas tamatnya penggambaran filem itu, barulah kami menjalin hubungan.

"Kini, Shahz pun telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Saya juga mempunyai kehidupan sendiri. Kami memang tiada masalah," kata Miera yang ditemui usai majlis tayangan filem Lebuhraya Ke Neraka pada Khamis.

Tambah Shahz yang ditemui di majlis sama, kisah percintaan mereka merupakan kisah lama yang telah pun dilupakan.

"Saya dan Miera tidak bermasam muka atau menyimpan sebarang dendam. Kami juga saling bertegur sapa ketika bertemu.

"Memang tiada isu pun. Kisah percintaan kami hanyalah sekadar kisah lama yang sudah berlalu," kata Shah.

Selain Miera dan Shah, Lebuhraya Ke Neraka menampilkan Datuk Awie, Dazrin Kamarudin, Khir Rahman dan ramai lagi. Filem ini akan ditayangkan bermula 4 Mei ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal