Pelakon Nadya Syahera kini bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas tamat proses berpantang.

Aktres yang terkenal menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey itu melahirkan puteri sulungnya, Aleena Rose pada awal Mac lalu.

“Proses berpantang sudah pun tamat. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya tidak menghadapi banyak masalah kerana saya dijaga oleh pihak yang menyediakan servis bidan. Bidan tersebut memantau keseluruhan proses berpantang.

“Kini saya sudah bersedia untuk kembali aktif bekerja dan bakal menerima semula tawaran lakonan. Telefilem yang bakal saya jayakan dalam masa terdekat ialah Abang Bomba I Love You Raya,” kata Nadya kepada Astro Gempak ketika ditemui di Malam Throwbaek Drama baru-baru ini.

Menerusi watak Bella yang dibawanya dalam drama bersiri Dia Semanis Honey, Nadya berjaya merangkul anugerah Watak Paling Meminta di Malam Throwbaek Drama.

“Alhamdulillah, watak Bella banyak memberi tuah kepada saya. Watak tersebut membuatkan nama saya dikenali dan watak itu juga membuka banyak peluang baru kepada saya.

“Anugerah ini merupakan anugerah pertama yang saya terima. Terima kasih kepada semua peminat yang mengundi sehingga saya layak membawa pulang anugerah ini,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal