Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay mengakui tidak mahu mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan lagu baharu seperti kebanyakan penyanyi lain.

Menurut Liyana, dia mempunyai perancangan menghasilkan single baharu dalam masa terdekat selepas kejayaan dua single berjudul Oh Na Na dan Selesa Tanpamu diterima pendengar.

Katanya lagi, dia mahu merakam lebih banyak lagu untuk memberi pilihan serta perubahan kepada industri muzik di Malaysia.

"Meskipun baru sahaja melancarkan dua single sebelum ini dan masih di peringkat promosi namun saya masih mahu merakam lebih banyak lagu.

"Walaupun pendengar di Malaysia masih belum biasa apabila seseorang penyanyi tampil dengan banyak single, namun saya tetap mahu melakukannya.

"Saya mengambil perkara itu sebagai satu cabaran kerana bukan mudah untuk menukar cara dan penerimaan pendengar di negara ini.

"Apa yang saya mahu adalah untuk memberi pilihan kepada pendengar kerana saya tak suka hanya satu lagu dan mahu beri lebih daripada itu," katanya kepada Astro Gempak.

Liyana berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sindiket di MM Cineplexes, eCurve Damansara, baru-baru ini.

Tambah Liyana, dia bakal melancarkan satu lagi single berjudul Rasa Begitu selepas sambutan Aidilfitri Julai depan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi