Puas! Hanya itu yang boleh diungkap selepas dua jam setengah menonton Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya, malam Khamis lalu.

Tidak keterlaluan jika Astro Gempak katakan, konsert dianjurkan Awie Entertainment Sdn Bhd ini sebagai yang terbaik untuk tahun 2017.

Siapa sangka, ikon konsert ini Yazit Search masih mampu mempamerkan skil bermain drum! Tidak hairanlah mengapa Sang Gendang ini dikatakan legend!



Yazit bertenaga beraksi untuk dua buah lagu, iaitu Belenggu Irama dan Meniti Titian Usang.

Momen indah tersebut pasti tidak akan dilupakan oleh mana-mana penonton yang menyaksikan konsert ini.

Kemunculan Tina Turner Malaysia atau Sahara Yaacob juga mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Biarpun sudah lama tidak muncul dalam mana-mana persembahan pentas, Sahara tampil dengan gaya tersendiri dan memukau!




Sesiapa pun pasti tidak akan melupakan 'showmanship' Sahara yang 'energetic' dan bertenaga. Serius!

Konsert Wings and Superfriends - Belenggu Irama bukan sekadar Awie, Black dan Eddie tetapi gandingan artis-artis ternama cukup menghiburkan.

Keluhan dan rintihan hati artis yang diperjuangkan berjaya disampaikan menerusi lagu-lagu seperti Tinggalkan Satu Peluru, Namun Ku Punya Hati, Anugerah, Sejati, Bernafas Dalam Lumpur dan 17 lagu lain.

Pujian wajar diberikan kepada Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Betto Kuhairy, Liza Hanim, Sahara Yaacob, Billa AF, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa dan Aniq Ceria Pop Star kerana mereka berpadu tenaga memberikan yang terbaik untuk konsert tersebut.



Wings turut diiringi pemuzik-pemuzik handalan seperti Edrie Hashim, Rosli Mohalim Sweet Charity, Kudin Headwind, Yan Lefthanded, Sham, Lola, Rodi Kristal, Hamzah, Pae, Fly dan Adi.

Kehadiran bekas pemain guitar utama Wings, Sham turut tidak mengecewakan kerana permainan gitarnya cukup membuat penonton terpesona.

Sekali lagi Astro Gempak ingin mengucapkan tahniah kepada Awie Entertainment kerana berjaya membawa perjuangan insan seni menerusi Konsert Wings And Superfriends – Belenggu Irama sekaligus mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma.

Jika anda mahu menjadi sebahagian daripada sejarah untuk sebuah konsert hebat, dapatkan tiket dengan harga bermula daripada RM80 hingga RM350 boleh dibeli secara atas talian menerusi website Redtix, www.airasiaredtix.com.

Konsert ini berlangsung selama empat hari bermula malam Khamis, 6 April sehingga hari ini, Ahad, 9 April.