Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Ali Puteh mengakui telah membotakkan kepalanya sejam sebelum persembahan bermula.

Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 28, berkata, dia tidak merancang untuk membotakkan kepalanya namun idea tersebut datang pada saat akhir.

"Sebenarnya idea untuk membotakkan kepala muncul pada saat-saat akhir sebelum beberapa jam persembahan bermula.

"Saya melakukannya demi MLM 2017 kerana ingin memberi kelainan terhadap watak yang dibawa dan ia tidak menjadi masalah bagi saya.

"Sudah 10 tahun saya sudah tidak botakkan kepala jadi apa salahnya saya korbankan rambut ini untuk membawa karakter ceti.

"Tujuan utama saya melakukan ini adalah untuk menghiburkan orang ramai dengan persembahan yang dilakukan oleh kumpulan Puteh," katanya kepada Astro Gempak.

Ali ditemui ketika majlis sidang media minggu kelapan MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam pada Jumaat.

Minggu kelapan MLM2017 menyaksikan kumpulan Nice telah tersingkir selepas mendapat markah terendah.

Sementara itu, pelawak daripada kumpulan Nice iaitu Ropie telah merangkul trofi Gempak Man of The Match (GMOTM) pada minggu ini.

Dalam pada itu, Datuk Aznil Nawawi telah diumumkan sebagai juri tetap yang menggantikan Najip Ali bersama dengan Rosyam Nor, Luna Maya dan Neelofa untuk mengadili para peserta.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik link ini ----> (Maharaja Lawak Mega)

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi