Penyanyi Azlan & The Typewriter kecewa apabila ramai bakat baru terbiar selepas menyertai program realiti.

Menurut Azlan, perkara tersebut merupakan satu kerugian kepada industri kerana mereka sepatutnya diberikan peluang untuk diketengahkan.

"Saya lihat ramai penyanyi-penyanyi berbakat di Malaysia yang pernah menyertai pertandingan realiti TV, tapi selepas keluar dari program tersebut mereka diabaikan.

"Ini merupakan satu kerugian yang amat besar kerana mereka sepatutnya diberikan satu platfom untuk tonjolkan bakat masing-masing," katanya kepada Astro Gempak.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single kompilasi The Protege, di In Touch, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Single kompilasi tersebut menampilkan artis-artis kelahiran daripada program Mentor Milenia 2016 iaitu Zetty Rashid, Nuri, Alif Reza dan Ainz.

Tambah Azlan, dia mengambil peluang untuk menghasilkan single kepada mereka dengan memberi peluang mengetengahkan bakat masing-masing.

"Kami telah memberikan platform kepada mereka dengan menghasilkan lagu-lagu mengikut karakter masing-masing.

"Saya sebenarnya hargai bakat mereka dan cuba untuk membentuk penyanyi ini menjadi lebih baik di masa hadapan," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi