Pelakon dan hos program MeleTOP, Neelofa akui tidak kisah bergandingan sekali lagi bersama aktor Fattah Amin menerusi telefilem istimewa Suri Hati Mr. Pilot Raya.

Menurut Neelofa, 28, dia mengekalkan sikap profesional dan kontroversi mengenai hubungan mereka sebelum ini bukanlah halangan untuk dirinya kembali berlakon bersama Fattah.

“Tidak ada masalah pun kalau berlakon dengan Fattah dan saya okay saja kerana saya mengekalkan sikap profesional dalam kerja.

“Saya tak rasa terganggu pun dengan kontroversi itu kerana sebagai artis kita mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tugas dengan sempurna.

“Sewaktu terima tawaran telefilem ini, saya terima dengan hati terbuka dan tanpa rasa ragu-ragu.

“Lagipun saya ada bertanya kepada pihak pengurusan Fattah dan mereka kata dia juga setuju," katanya.

Neelofa ditemui ketika majlis pengumuman calon akhir AME2017 bertempat di Zouk, Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Telefilem Suri Hati Mr. Pilot Raya arahan Michael Ang bakal menjalani penggambaran pada 9 April depan.

Dalam perkembangan terbaru, Neelofa bakal mengacarakan Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME2017) bersama Nabil Ahmad dan Johan.

Selain itu, Neelofa juga turut mendominasi senarai calon akhir dengan meraih lima pencalonan daripada 17 kategori yang dipertandingkan tahun ini.

Neelofa tercalon dalam kategori Hos MeleTOP, Fesyen MeleTOP, Bintang Online MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP dan Program MeleTOP menerusi rancangan Taste Selebriti (episod Neelofa).

AME 2017 bakal bersiaran langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

Jangan lupa untuk tonton episod penuh Suri Hati Mr. Pilot okay!

KLIK DI SINI - VIDEO: Tonton Episod Penuh Drama Bersiri SURI HATI MR PILOT

Teks oleh: Mya Amri