Penyanyi Mizz Nina akui menurunkan berat badan demi suaminya, Noh Hujan.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 37, berkata dia mendapat semangat untuk menguruskan badan selepas melihat Noh berjaya menurunkan berat badan dan mendapat bentuk badan yang fit.

"Noh dah mula sertai larian 10 kilometer sejak tahun lalu dan sejak itu saya lihat dia berjaya menurunkan berat badan dan mendapat bentuk tubuh yang ideal.

"Bila dia semakin kurus saya pun mula tertekan dan mahu turunkan berat badan juga sepertinya.

"Jadi saya mula dengan bersenam pada tahun lalu dan makan makanan yang sihat atau clean food," katanya kepada Astro Gempak.

Hasilnya, Mizz Nina memberitahu dia berjaya menurunkan berat badannya dari 65 kilogram (kg) kepada 59kg dalam masa lima bulan.

Mizz Nina turut berkongsi tips yang diamalkan untuk menurunkan berat badannya.

"Saya teruskan senaman dan clean food selama lima bulan tanpa tekanan.

"Saya melalukan senaman cardio seperti jogging dan berjalan selama 45 minint setiap 4 kali seminggu. Lagi 15 minint saya buat senaman regangan seperti yoga.

"Sementara dari segi makanan pula saya elak makanan bergoreng di rumah juga saya akan menggunakan minyak kelapa sahaja untuk memasak selebihnya memperbanyakan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Hasilnya saya berjaya turunkan berat badan ke 59kg. Sebenarnya ada beberapa kilo lagi saya perlu turunkan untuk mendapat bentuk badan ideal iaitu ke 55kg," katanya lagi.

Mizz Nina dan Noh sudah berkahwin lebih lima tahun lalu iaitu bernikah pada 1 Julai 2011.

Teks oleh: Syafiqah Jalal