Pelakon dan pengarah Dira Abu Zahar menjelaskan keputusannya untuk berhenti berlakon bukanlah kerana merajuk.

Dira atau nama sebenarnya, Khaidirah Abu Zahar, 33, menyifatkan keputusannya itu tepat pada waktunya.

"Tiada isu atau sebab untuk saya merajuk. Bagi saya, waktu saya untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan sudah berakhir. Biar bakat-bakat baru dalam dunia lakonan mewarnai kaca televisyen," kata Dira kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya adakah dia akan kembali berlakon jika tawaran yang datang menarik seperti berlakon dengan pengarah ternama luar negara atau terlibat dengan projek khas yang membariskan pelakon-pelakon nama besar, Dira mempunyai jawapan tersendiri.

"Kadang-kadang ada terfikir, namun saya mengambil jalan terbaik dengan menghormati keputusan sendiri. Saya sudah menetapkan hati untuk berhento berlakon, jadi diri saya sendiri harus menerima dan menghormati keputusan tersebut," katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran filem Kimchi Untuk Awak baru-baru ini.

Filem lakonan Dira bersama Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza dan ramai lagi ini menjadi buah tangan terakhir Dira yang akan disiarkan di layar perak.

Kimchi Untuk Awak yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton pada 30 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal