FILEM: J Revolusi

PENGARAH: Zulkarnain Azhar

PELAKON: Zul Ariffin, Fazura, Farid Kamil, Izara Aishah, Azad Jazmin, Iedil Putra, Datuk Hans Isaac dan ramai lagi.

DURASI: 100 minit

PENGEDAR: Grand Brilliance dan Infinitus Productions

TARIKH TAYANGAN: 2 Mac 2017

Filem pertama hasil arahan pengarah Zulkarnain Azhar ini menampilkan barisan pelakon hebat sebagai peneraju utama. Melihat kepada barisan pelakon membuatkan penulis rasa tidak sabar untuk menonton filem ini.

Sebelum menonton J Revolusi, terdetik di hati penulis untuk membuat perbandingan filem ini dengan filem pecah panggung Polis Evo. Namun begitu, selepas selesai menontonnya, tidak adil untuk membandingkan dua filem ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri walaupun menampilkan tema kepolisan.

Jalan cerita J Revolusi bergerak dengan baik. Menampilkan jalan cerita serta liku kehidupan seorang anggota Unit Tindakhas (UTK) dalam sebuah filem merupakan sesuatu yang segar untuk pasaran filem Malaysia.

Biarpun adakalanya beberapa babak nampak kurang meyakinkan, lebih-lebih lagi latar masa di babak-babak akhir filem ini, usaha yang dipaparkan oleh Zulkarnain wajar diberi pujian kerana ini merupakan buah tangan pertamanya.

Menyentuh hasil lakonan, pujian wajar diberikan kepada watak yang dibawakan oleh Izara Aishah, Azad Jazmin dan Datuk Hans Isaac. Mereka berjaya mencorakkan watak dengan begitu baik dan memberikan impak dalam lakonan yang diberikan.

Izara memberikan hasil lakonan berbeza berbanding filem terdahulu. Walaupun Azad membawakan watak komedi yang selalu dijayakan dalam filem ini, Azad mencipta dimensi berbeza dalam J Revolusi.

Kredit juga harus diberikan kepada Hans. Biarpun tampil sebagai cameo, Hans berjaya menyampaikan watak yang digalas dengan begitu baik sekali.

Bagi mereka yang gemarkan filem aksi, jangan melepaskan peluang anda untuk menonton filem ini. Filem J Revolusi yang menerjah penonton pada 2 Mac lalu masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

SINOPSIS:
J Revolusi mengisahkan tentang Jay Zulkarnain yang merupakan seorang ketua serangan untuk UTK (Unit Tindakhas) di Malaysia. Oleh kerana Jay dan pasukan operasinya begitu terlatih, digeruni dan mempunyai serangan maut, mereka adalah mimpi ngeri bagi semua pengganas.

Tetapi, apabila kakak Jay, Dian (Nur Fazura), seorang ejen dalam penyamaran, ditangkap oleh pengganas misteri yang telah memerangkap Jay dengan tuduhan membunuh ahli kumpulannya, Jay perlu bertindak melawan masa untuk menyelamatkan kakaknya dan membongkar rahsia lelaki yang tidak mengalah untuk menghancurkan Jay.

Teks oleh: Kamaruddin Razal