Pelakon dan juga bekas peserta Ceria Popstar, Wafiy akui tidak malu berlakon sebagai lelaki lembut untuk filem televisyen terbaru berjudul Kasut Bola Pink.

Menurut Wafiy atau nama sebenarnya Mohd Wafiy Ilhan Johan, 14, dia tidak mahu dilabel sebagai pelakon kanak-kanak 'stereotype' yang hanya sinonim dengan satu watak sahaja.

“Berlakon watak lembut ini merupakan cabaran baru untuk saya dan saya melakukannya dengan tidak terlalu ‘over’.

“Alhamdulillah sewaktu sesi ujibakat dijalankan, pengarah suka dengan lakonan saya dan kemudiannya saya dipilih.

‘Tak kisah apa orang nak kata, bagi saya watak lembut itu hanyalah lakonan di dalam cerita itu sahaja dan hakikatnya saya merupakan seorang lelaki.

“Orang yang kenal saya tahu perwatakan saya bagaimana dan sebenarnya saya terima tawaran ini kerana wataknya yang berlainan.

“Kalau boleh saya tidak mahu orang anggap saya hanya tahu berlakon satu watak sahaja. Walaupun usia saya baru 15 tahun tapi rasanya tak salah kalau saya cuba watak baru,” katanya kepada Astro Gempak.

Kasut Bola Pink dibintangi oleh Wafiy, Erissa, Vanidah Imran, Shidi Ishak, Afdlin Shauki, Jihan Muse, Tauke Jambu dan Bernie Chan.

Filem televisyen ini akan ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 9 Mac dengan hanya RM15.00.90 (termasuk GST).

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Nina (Erissa) yang begitu meminati bidang solekan manakala Rafiq (Wafiy) pula merupakan pemain bola sepak popular di sekolahnya.

Mereka berdua boleh diibaratkan seperti pepatah anjing dengan kucing kerana kerap bergaduh dan berselisih pendapat.

Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila kedua-duanya bertukar identiti ketika sedang bertelagah dan dipanah petir.

Lebih menarik lagi apabila mereka terpaksa menyamar menjadi diri masing-masing terpaksa bertukar watak disebabkan perkara tersebut.

Nina buntu apabila terpaksa menyamar menjadi rafiq manakala Rafiq pula berasa tertekan untuk menjadi Nina.

Teks oleh: Mya Amri