Penyanyi dan penyampai radio Haiza tidak pernah merancang untuk menimang anak kedua dan menyerahkan perkara tersebut terhadap ketentuan rezeki.

Mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Norhanapfe Omar pada 24 Ogos 2007, mereka dikurniakan seorang anak, Nur Iman Syafie yang kini berusia lima tahun.

"Saya tak pernah merancang kehamilan. Saya memang mahu menimang anak kedua tetapi rezeki masih belum ada.

"Sememangnya saya dan suami tidak pernah merancang semenjak awal perkahwinan. Untuk mendapatkan anak pertama pun, kami menanti selama lima tahun. Insya-Allah jika tiba masanya, rezeki pastinya berpihak kepada kami," kata Haiza kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Haiza juga mendedahkan yang anaknya pernah berdoa agar Haiza segera hamil.

"Iman sudah menginjak usia lima tahun dan dia tahu mengenai perkara ini. Kadang-kadang, apa yang keluar dari mulut Iman tidak boleh diduga.

"Iman pernah berdoa dan memegang perut saya agar saya segera hamil dan dia dikurniakan seorang adik," katanya ketika ditemui di Majlis Lepak Santai Hot FM dan Kool FM baru-baru ini.

Memasuki usia setahun bergelar penyampai Kool FM, Haiza semakin selesa dengan gandingannya bersama AG.

"Alhamdulillah, penyertaan saya sebagai penyampai Kool FM membuka rezeki saya. Saya semakin selesa bersama AG. Banyak perkara yang saya pelajari.

"Disamping itu, saya juga semakin selesa dan pengurusan juga banyak memberikan galakan untuk saya meneruskan kerjaya nyanyian walaupun bergelar penyampai radio," katanya lagi.

Haiza dan AG bersiaran di Kool FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 hingga 10.00 pagi menerusi segmen Pagi Hari Di Kool.

Teks oleh: Kamaruddin Razal