Penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 34, akui disebabkan jadual kerja yang terlalu padat dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Saya merupakan seorang ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil, sibuk macam mana pun saya perlu pastikan ada masa untuk mereka.

“Tak dinafikan memang agak sukar untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga tetapi saya perlu bijak menguruskannya.

“Suami saya, Shuib juga seorang penggiat seni dan dia pun sudah sibuk dengan kerja, sebagai isteri takkanlah saya pun sama seperti dia.

“Baru saya sedar bila saya terlalu fokus bekerja, banyak benda akan terabai seperti kerja rumah dan juga memasak.

“Jadi saya perlukan hari rehat untuk saya uruskan rumah dan juga keluarga,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjayanya, Sarah memberitahu rezekinya semakin bertambah selepas dinobatkan sebagai naib juara GegarVaganza 3 (GV3).

“Alhamdulillah, banyak tawaran persembahan yang saya dapat tapi tidak semua saya terima kerana tidak mahu jadual saya terlalu padat.

“Boleh dikatakan tahun ini merupakan tahun pertama saya kembali aktif menyanyi dan saya bersyukur mempunyai suami yang memahami.

“Sekarang saya sibuk merakamkan single terbaru dan tak sabar pula nak tunggu hasilnya nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Shuib dan Sarah berkahwin pada tahun 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin, 1.

Teks oleh: Mya Amri