Talian undian Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) dan orang ramai sudah boleh mula mengundi calon-calon kegemaran anda sekarang.

Talian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal dibuka bermula hari ini, 21 Februari, pukul 6 petang dan bakal berakhir pada waktu yang sama pada 19 Mac.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan dan undian boleh dilakukan menerusi online di dua buah laman web rasmi iaitu www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm atau menerusi aplikasi ERA dan Raku yang boleh di muat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

Berita baik buat yang setia mengundi, AME 2017 turut menganjurkan pertandingan AME 2017: Undi & Menang yang memberi peluang kepada para peminat untuk memenangi pas masik VIP dan berjalan di Red Carpet bersama selebiriti kesayangan anda.

Para peminat yang menghantar undian terbanyak berpeluang memenangi hadiah istimewa ini.

Pengurus Kandungan ERA fm, Dhan Andreas berkata, Radio Era akan terus mengetengahkan penyanyi-penyanyi baru yang berbakat menerusi lagu-lagu popular mereka.

“Era akan terus menyampaikan informasi berguna kepada pendengar selain menyokong penyanyi-penyanyi baru dengan memberi ruang untuk lagu-lagu mereka di carta mingguan.

“Pihak Era fm juga akan turut melibatkan penyampai-penyampai ERA fm sendiri dalam AME 2017 sebagai tanda sokongan,” katanya.

Sementara itu, pasangan hos Nabil Ahmad dan Neelofa akan digandingkan sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab bersama sebagai hos pada malam gilang gemilang itu nanti.

AME 2017 akan disiarkan secara langsung dari Stadium Melawati Shah Alam pada Ahad, 23 April bermula pukul 9 malam dan boleh ditonton secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh dinikmati menerusi perkhidmatan Astro On The Go (AOTG) dan Astro On Demand.

Untuk melihat senarai penuh pencalonan awal dan mula mengundi, MULAKAN UNDIAN ANDA DI SINI [[klik di sini]].

AME ialah sebuah anugerah pilihan penonton yang akan memberi kuasa sepenuhnya kepada para peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 17 kategori pencalonan yang dipertandingkan.

Pada tahun ini juga, AME turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Si Cilik MeleTOP.