Komposer dan penerbit Edry Abdul Halim yakin Rockanova bakal menjadi sebuah program baru yang membawa revolusi kepada program realiti yang ada di Malaysia.

Menggalas tanggungjawab sebagai juri, Edry mahu peserta Rockanova mempunyai pengetahuan dalam muzik rock.

“Muzik rock tidak akan pernah mati. Kita sering dihidangkan dengan pencarian bakat baru yang bersandarkan kepada bakat nyanyian umum. Namun begitu, kita jarang melihat sebuah program yang mencari penyanyi yang mempunyai kemahiran dalam satu genre muzik sahaja.

“Muzik rock tak akan pernah basi dan diminati oleh semua golongan. Saya dapat merasakan bahawa Rockanova bakal menjadi sebuah program yang membawa revolusi baru dalam program realiti di Malaysia,” kata Edry ketika ditemui sewaktu sesi ujibakat pserta Rokanova di Angerik Mall, Shah Alam pada Sabtu lalu.

Tambah Edry, terdapat beberapa peserta yang datang ke sesi ujibakat mampu menonjolkan bakat mereka dan ada juga peserta yang datang tanpa sebarang persiapan.

“Ramai peserta yang nada suaranya tidak sesuai dengan lagu rock hadir mencuba nasib. Perkara tersebut tidak bersesuaian kerana Rockanova mahu mencari penyanyi rock. Menariknya, anak kepada penyanyi Jay Jay juga datang ke sesi ujibakat.

“Kami juga menerima penyertaan pasangan suami isteri yang mempunyai kebolehan dalam menjadi seorang bintang rock. Akhirnya, barisan juri serta tenaga produksi akan memilih peserta yang terbaik untuk dijadikan finalis program Rockanova,” kata Edry lagi.

Program realiti terbaru Rockanova juga turut menampilkan Datuk Awie selaku juri. Datuk Hattan pula bertindak selaku guru vokal dan persembahan yang akan memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta Rockanova. Program ini bakal bersiaran di Astro Prima.

Teks oleh: Kamaruddin Razal