Sering menyanyi serta menciptakan lagu tema untuk drama bersiri, penyanyi Ippo Hafiz kini bakal muncul dengan lagu tema filem pula.

Menciptakan lagu berjudul Dia Untukku untuk filem terbaru terbitan Astro Shaw, Kimchi Untuk Awak, Ippo berkolaborasi dengan dua orang komposer lain untuk mencipta lagu ini.

“Saya banyak mencipta lagu secara solo sebelum ini. Untuk lagu Dia Untukku, saya memberikan sedikit kelainan kerana saya berkolaborasi bersama dua orang komposer yang berbakat, Rudy Nastia dan Leo Azman.

“Saya rasa teruja kerana diberi peluang untuk mencipta lagu ini. Saya juga tidak sabar untuk menantikan reaksi penonton filem yang mendengar lagu ini apabila filem itu ditayangkan di pawagam pada 30 Mac nanti,” kata Ippo kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Ippo bakal menciptakan lagu untuk Intan Sarafina dan Zarul Umbrella.

“Alhamdulillah, bidang penciptaan lagu yang saya ceburi kini semakin berkembang. Selepas mencipta beberapa lagu untuk penyanyi seperti Ronnie Hussein dan Irfan Haris, permintaan untuk saya mencipta lagu semakin bertambah.

“Kini saya sedang mencari material untuk mencipta lagu untuk Intan Sarafina dan Ronnie Hussein. Insya-Allah, lagu tersebut bakal disiapkan sebelum Ramadan ini,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal