Pelakon Zul Ariffin mendedahkan dirinya menjayakan hampir keseluruhan babak aksi tanpa bantuan stuntman dalam filem terbaru lakonannya.

Menerusi filem J Revolusi, Zul menjayakan 90 peratus babak aksi sendiri dan mengalami luka-luka ringan.

“Hampir keseluruhan babak aksi saya jayakan sendiri tanpa bantuan stuntman. Saya sendiri mahu merasakan pengalaman menjayakan babak aksi agar semuanya tampil realistik.

“Walaupun saya berhadapan dengan pelbagai risiko seperti kecederaan dan kemalangan, saya ketepikan dahulu perkara tersebut dan mahu memberikan sepenuh fokus untuk menjayakan watak Jay Zulkarnain,” kata Zul kepada Astro Gempak.

Tambah Zul, dia rasa berpuas hati kerana dapat menjayakan babak-babak aksi dan menyaksikan apa yang dilakonkan berjaya direalisasikan dalam filem.

“Saya sendiri rasa puas hati kerana banyak melakukan babak aksi dan adegan lasak saya sendiri. Apa yang saya lakukan rasa berbaloi selepas dapat melihat sendiri adegan yang dijayakan dalam filem.

“Jika sebelum ini saya bawakan watak berat dan watak yang berkaitan dengan cinta, filem J Revolusi menyaksikan dimensi baru lakonan saya. Saya berharap agar semua pihak dapat menyokong file mini,” katanya lagi.

Filem J Revolusi yang turut dibintangi oleh Farid Kamil, Nur Fazura dan Izara Aishah akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal