Pelakon drama bersiri Suri Hari Mr. Pilot, Ben Amir mahu mengelakkan dirinya terkena tempias cinta lokasi.

Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 27, mahu menumpukan fokus terhadap kerjaya.

"Saya akui wujudnya cinta lokasi antara pelakon yang berkongsi set penggambaran sama. Seboleh-bolehnya, saya mahu mengelakkan perkara ini terjadi.

"Sejujurnya, jika saya mahu memilih pasangan hidup, saya mahu memilih orang di luar industri hiburan. Buat masa ini, saya selesa untuk menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan," kata Ben kepada Astro Gempak.

Memegang watak Dr. Muslim dalam Suri Hati Mr. Pilot, Ben mengakui drama bersiri tersebut melonjakkan namanya.

"Saya akui drama bersiri tersebut buat nama saya lebih dikenali. Suri Hati Mr. Pilot semenangnya memberikan impak terhadap kerjaya saya.

"Walaupun drama bersiri tersebut sudah lama berlalu, masih ada peminat yang memanggil saya dengan nama Dr. Muslim. Peluang yang saya dapat ini saya gunakan dengan cara baik.

"Saya harus berusaha memberikan mutu lakonan yang baik terhadap setiap produk agar perkara tersebut meninggalkan kesan di hati peminat," katanya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran produk kesihatan Go-S.

Bertindak sebagai co-founder merangkap duta produk kesihatan ini, Ben mahu menjinakkan diri dalam bidang perniagaan.

Untuk info mengenai Go-S, layari laman web gos.farbelrich.com atau laman Instagram @go_s_hq.

Teks oleh: Kamaruddin Razal