Pelakon drama Hwarang, Jo Yoon Woo akui kagum dengan personaliti anggota Running Man, Lee Kwang Soo dan menjadikannya sebagai artis contoh.

Menurut Yoon Woo, Kwang Soo merupakan seorang artis senior yang baik dan tidak sombong.

“Dalam ramai-ramai selebriti, saya memilih Lee Kwang Soo sebagai role model saya. Dia seorang yang rendah diri.

“Sikapnya tidak pernah berubah sejak kali pertama saya mengenalinya dan dia sentiasa jujur menjadi dirinya sendiri.

“Dengan sesiapa pun dia bertemu, Lee Kwang Soo pasti akan mengingati nama mereka dan tidak lupa untuk bertegur sapa.

“Saya sangat sukakan sikap dan personalitinya, kalau boleh saya ingin menjadi seperti Kwang Soo,” katanya.

Tambah Yoon Woo lagi, Kwang Soo sering memberikan nasihat kepadanya ketika dia mula melibatkan diri dalam dunia lakonan.

“Sudah enam tahun saya berada dalam bidang ini dan bila difikirkan kembali, rasanya saya cukup bertuah dapat tawaran berlakon.

“Drama pertama saya adalah Flower Boy Ramyun Shop, drama tersebut mendapat sambutan tetapi sebaik saja drama itu tamat, saya rasa agak sunyi dan menyepi.

“Boleh dikatakan saya masih lagi mencari hala tuju pada waktu itu. Namun saya berterima kasih kepada Yoo Yeon Seok dan Lee Kwang Soo kerana tidak putus asa memberikan semangat kepada saya,” jelasnya.

Olehan: Mya Amri

Sumber: Soompi