Bintang Duo Star, Haiza dan Aepul Drama Band memohon para peminat mereka bersabar dan tidak mempertikai keputusan juri.

Berpuas hati di tempat ketiga, Haiza dan Epul ketika ditemui Astro Gempak berkata, mereka sudah melakukan yang terbaik pada setiap persembahan sehingga ke pentas akhir.

“Kami bersyukur dan berharap agar para peminat khususnya #HaizaXAepulGladiators juga menerima keputusan yang telah ditetapkan.

“Lagipun perjalanan kami tidak akan berhenti di Duo Star kerana akan muncul dengan single pertama berjudul Jangan Pernah Berdusta tidak lama lagi.

“Nantikan update dari kami dari semasa ke semasa. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami kerana tanpa mereka mungkin kami tidak akan pergi sejauh ini,” kata Haiza.

Sementara itu bagi Aepul pula, keputusan untuk menerbitkan single bersama Haiza kerana keserasian yang tercipta di antara mereka berdua.

“Saya tidak sangka kami mudah serasi dan ramai juga yang sukakan gandingan kami dalam Duo Star. Single Jangan Pernah Berdusta adalah hadiah dari saya dan Haiza buat semua peminat kami.

“Saya harap peminat semua suka dengan single terbaharu kami nanti,” katanya.

Haiza dan Aepul membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000, Baucer tunai Go Shop bernilai RM2000 beserta trofi sumbangan Astro.

Juara menajdi milik Syamel dan Ernie yang berjaya merangkul wang tunai sebanyak RM100,000, baucar tunai Go Shop bernilai RM4000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara itu, naib juara jatuh kepada Awi Rafael dan Kaka yang menerima wang tunai RM50,000, baucar tunai Go Shop bernilai RM3000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Pasangan Firman dan Ayai terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dan membawa pulang wang tunai RM10,000, Baucer tunai Go Shop bernilai RM1000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Mereka turut diumumkan sebagai pemenang anugerah Duo Star pilihan AuraWhite dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000 dan baucar tunai Go Shop bernilai RM1000.

Kesemua peserta Duo Star dinilai oleh juri tetap, Datuk Acis, Adibah Nor dan Datuk Hattan manakala Datuk Ac Mizal pula bertindak sebagai hos program berkenaan.

Keputusan pemenang adalah 100 peratus berdasarkan sistem permakahan juri.

Konsert akhir Duo Star telah berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dan disiarkan pada Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria HD (104) dan Ria HD.