Penyanyi Siti Sarah akui tidak mendedahkan anak-anaknya dengan gajet sebagai alat permainan dan menonton televisyen.

Sarah berkata, dia tidak mahu menanggung akibat yang lebih buruk pada masa akan datang dengan amalan tidak sihat itu.

"Saya memang tidak galakkan anak saya untuk bermain gajet ataupun menonton televisyen.

"Gajet dan skrin televisyen ini menurut apa yang saya baca, boleh merosakkan perkembangan dan tumbesaran otak kanak-kanak.

"Saya sayangkan anak-anak saya, jadi saya tidak mahu mereka menanggung akibatnya.

"Tapi bukanlah saya tidak beri langsung gajet kepada mereka, cuma bila ada masa tertentu sahaja.

Sarah berkahwin dengan pelawak Shuib Sepahtu dikurniakan tiga orang anak berusia 6 tahun, 3 tahun dan 1 tahun.

Bagaimanapun, kata penyanyi Kesetiaan itu, ia merupakan pendapat peribadi dan tidak menghalang ibu bapa lain yang menggunakan kaedah berkenaan dalam penjagaan anak-anak mereka.

"Tidak semua setuju dengan pendapat saya. Saya tahu akan ada yang marah dengan pendapat saya ini tapi ia terpulang pada mereka.

"Saya sayangkan anak-anak saya dan tidak mahu mereka terjejas," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sarah dalam proses untuk melancarkan album terbaharunya pada April depan.

Teks oleh Syafiqah Jalal