Bintang Duo Star, Haiza menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya tamak kerana menerima terlalu banyak tawaran bekerja.

Haiza, 37, berkata, dakwaan tersebut mugkin timbul kerana dia sering dilihat di kaca televisyen dan suaranya sering kedengaran di corong radio.

"Alhamdulillah, rezeki anak. Saya bukannya tamak, tetapi mungkin kerana saya bekerja di radio dalam masa sama menyertai program Duo Star, jadi orang nampak saya 'back-to-back'.

"Saya bukanlah orang yang tamak dan 'sapu' semua job, tetapi saya tengok juga mana yang sesuai dan tidak. Asalkan kerja tersebut tidak mengganggu waktu kerja saya dikonti, saya akan terima.

"Setakat ini, saya tidak ada masalah untuk membahagikan masa untuk kerja dan keluarga," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Haiza dan pasangannya Epul bakal berkaksi di pentas akhir Duo Star yang akan bersiaran pada Ahad ini.

Mengulas tentang perkara tersebut, Haiza memberitahu dia dan Epul sedikit pun tidak menyangkan akan ke pentas akhir kerana saingan hebat daripada peserta lain.

"Bukan nak kata apa, saingan hebat-hebat dan dapat ke pentas final pun sudah cukup baik untuk kami berdua.

"Kami hanya melakukan yang terbaik untuk para peminat yang tidak jemu-jemu memberikan semangat serta datang menyokong kami pada setiap minggu," katanya.

Turut bertanding merebut gelaran juara sulung Duo Star pada Ahad ini ialah pasangan Syamel & Ernie, Awi Rafael & Kaka serta Ayai & Firman.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 manakala naib juara RM50,000 berserta trofi.

Terdahulu, pasangan duo terbaik mingguan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 tajaan Aurawhite dan baucar Go Shop bernilai RM1,000.

Duo Star bersiaran pada setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria HD (104) dan Ria HD (123).