Pengacara HLive yang kini bergelar pelakon, Adriana Adnan menggoda aktor kacak, Aiman Hakim Ridza.

Aksi Adriana menggoda Aiman boleh disaksikan dalam drama bersiri terbaru, Urusan Hati Cik Drama Queen yang bakal bersiaran pada 6 Februari 2017.

Dalam drama bersiri tersebut, Adriana membawakan watak antagonis dan penggoda.

"Menerusi drama bersiri tersebut, karakter saya berbeza berbanding drama bersiri pertama saya, Suri Hati Mr. Pilot. Menerusi drama bersiri tersebut, saya bergandingan bersama Aiman, Scha Alyahya, Randy Pangalila dan ramai lagi," kata Adriana.

Terpalit dengan gosip cinta bersama Aiman, Adriana menjelaskan hubungan yang terjalin antara mereka hanya sekadar hubungan profesional rakan sekerja.

"Saya sendiri hairan bagaimana khabar yang mendakwa kami bercinta boleh diperkatakan. Perkara itu agak pelik kerana kami hanya bercakap di set penggambaran.

"Selepas bekerja, kami tidak pernah berhubung langsung. Saya berharap agar gosip ini tidak dipanjangkan kerana perkara ini akan mengundang rasa tidak selesa ramai pihak.

"Saya hanya mahu fokus kepada kerjaya dan pengajian separuh masa yang bakal tamat dua tahun lagi," katanya.

Jangan lupa saksikan Urusan Hati Cik Drama Queen yang bakal bersiaran bermula 6 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Sumber: Harian Metro
Olahan oleh: Kamaruddin Razal