Tidak hanya berbakat sebagai penyanyi, Aina Abdul juga mempunyai kebolehan untuk mencipta lagu dan lirik.

Jika sebelum ini, Aina mencipta lagu untuk nyanyian sendiri, kini gadis berusia 27 tahun itu mendapat peluang untuk mencipta lagu penyanyi lain.

"Alhamdulillah, saya dalam proses untuk menyiapkan dua lagu yang bakal dinyanyikan oleh Misha Omar dan Ernie Zakri.

"Untuk Ernie, saya mencipta sesuatu yang rancak manakala untuk Misha, saya mahu mencipta sebuah karya yang rentaknya perlahan.

"Mereka merupakan artis yang sangat saya gemari dan hormati. Saya sendiri teruja dan bersyukur kerana mendapat peluang sebegini.

"Saya meneliti dahulu vokal Misha dan Ernie, selepas itu barulah saya buat lagu yang kena dengan suara mereka. Tetapi, saya tidak lupa untuk meletakkan elemen 'Aina Abdul' dalam lagu terbabit," katanya.

Tambah Aina, dia menyimpan angan-angan untuk mencipta lagu untuk penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Semestinya saya mengidam untuk mencipta lagu untuk penyanyi tersohor, Tok Ti. Saya teringin nak jadi komposer Tok Ti. Saya memang minat Tok Ti semenjak kecil dan saya sendiri khatam semua karya yang dinyanyikan olehnya.

"Insya-Allah, saya berharap peluang itu akan datang satu hari nanti dan buat masa sekarang, saya tak akan berhenti memberikan yang terbaik untuk dalam setiap karya yang usahakan," katanya lagi.


Dalam perkembangan terkini, selepas muncul dengan single Sumpah pada tahun lalu, Aina kini tampil dengan lagu terbaru berjudul Semalam.

Mengekalkan momentum sebagai 'singer-songwriter' yang mahu menyampaikan mesej dalam setiap karyanya, Aina mengangkat isu hubungan toksik dalam Semalam.

Single Semalam sudah berada di semua saluran muzik secara digital menerusi platform Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer bermula 6 Mac dan lirik videonya juga boleh ditonton di laman YouTube.