Filem Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan pada 12 Mac depan telah menjadi bualan netizen selepas trailer filem itu dilancarkan di laman YouTube Astro Shaw.

Rata-ratanya menunjukkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan filem itu pawagam selepas melihat sendiri sedutan beberapa babak menarik yang dipaparkan dalam trailer berkenaan.

Antara yang menarik perhatian netizen menerusi trailer berdurasi kurang dua minit itu adalah aksi dan kualiti filem yang mereka nantikan.

“Macam ni la baru filem orang nak tengok.

“Excited gila. Bulan looks hot, cool & strong.

“Tengok trailer pun meletop. Mesti dekat panggung ni lagi meletop! Tak sabar!

“Wah terbaik la, trailernya... Tak sabar nak tengok filem ni,” antara komen-komen positif netizen.

Filem hebat yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar ini bakal menemui penonton pada 12 Mac depan.

Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Maya Karin, Khir Rahman, Zizan Razak, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Secara ringkas Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.