Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertindak mencemuh keputusan Anugerah Akademi Ke-92 (Oscar) yang mengiktiraf filem Korea Selatan, Parasite sebagai Filem Terbaik, lapor AWANI.

“Adakah anda tonton? Betapa teruknya Anugerah Akademi tahun ini?,” tanya Trump kepada ribuan penyokongnya yang hadir dalam satu perhimpunan di Colorado Springs semalam.

“Dan pemenangnya adalah, filem dari Korea Selatan, apa yang dah berlaku ini?

"Kita sudah berdepan banyak masalah dengan Korea Selatan dalam isu perdagangan, mereka pula diangkat sebagai Filem Terbaik tahun ini? Adakah itu berita baik? Saya tidak tahu,” tegasnya.

Trump, bagaimanapun, berkata dia lebih memilih filem klasik Hollywood seperti ‘Gone with the Wind’ (1939) dan ‘Sunset Boulevard’ (1950) berbanding filem arahan Bong Joon-ho itu.

“Saya ingat filem-filem itu filem terbaik sebelum ini, bukan?

"Tidak. Adakah ia pernah berlaku sebelum ini?” tanya Trump, seperti yang dipetik dari Bloomberg.



Sebelum ini filem berbahasa asing yang pertama kali merangkul empat anugerah di pentas Oscars itu, turut mencetuskan kontroversi apabila terdapat penerbit filem Tamil mengumumkan akan menyaman penerbit filem Parasite atas sebab plagiarisme.

Wakil dari syarikat produksi filem itu, CJ Entertainment, bagaimanapun, berkata pihaknya tidak tahu mengenai isu berkenaan.

Terdahulu, produksi filem Parasite telah mencipta sejarah dengan menjadi filem berbahasa asing pertama memenangi anugerah Filem Terbaik di Oscars, selain turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Filem Luar Terbaik.

Sumber : Astro AWANI