Walaupun sudah berada di puncak kerjaya, Datuk Seri Siti Nurhaliza masih komited berkarya dan terus aktif mewarnai industri muzik Malaysia.

Terbaru Siti yang baharu sahaja muncul dengan single ‘Terang’ pada November tahun lalu, kini bakal hadir pula dengan single terbaru berjudul 7 Nasihat.

7 Nasihat merupakan ciptaan rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ini.

Kmy Kmo dan Luca Sickta yang memperjuangkan genre Hip Hop berkonsepkan ritma atas puisi, cukup dikenali dengan karya ciptaan yang sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya.

Menerusi 7 Nasihat, kolaborasi Datuk Siti bersama dengan rapper duo ini dilihat sangat bertepatan dan berpadanan kerana masing-masing mempunyai jati diri kemelayuan yang sangat tinggi dalam berkarya.

7 Nasihat merupakan kali kedua Datuk Siti berkolaborasi dengan penyanyi Hip Hop selepas kolaborasinya bersama kumpulan Too Phat pada tahun 2005 menerusi lagu hits ‘Dua Dunia’.

“Sebagai artis senior, saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa. Peluang bergandingan dengan kmy dan luca merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda.

“Lagu 7 Nasihat merupakan sebuah karya istimewa kerana menggabungkan hip-hop, rap dan tradisional. Ini juga dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali,” katanya.

Single ini juga bertujuan untuk mengubat kerinduan para peminat Datuk Siti sebelum beliau muncul dengan album penuh pada bulan April nanti.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini.