Bekas kekasih penyanyi Naim Daniel, Dayana Amerda menuntut hak cipta bersama lagu Sumpah yang dinobatkan sebagai Anugerah Juara Lagu ke-34 baru-baru ini.

Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah, 21, berkata, tuntutan yang dibuatnya hanyalah atas dasar hak semata-semata tanpa melibatkan isu wang ringgit.

“Saya tak nak duit, apa yang saya mahukan hanyalah kejujuran daripadanya.

“Tapi kalau contoh dia daftarkan nama saya, secara tak langsung memang saya dapatlah royalti itu. Royalti tu nombor dua,” katanya.

Dayana berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.



Dayana turut diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Hadir sama, ibu Dayana, Che Rohaida Che Daud dan pengerusi Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd. Majid.

Katanya lagi, dia memberikan tempoh selama seminggu kepada Naim untuk membuat pengakuan secara terbuka bahawa lagu itu merupakan karya ciptaan bersamanya.

“Tempoh yang saya bagi selama seminggu untuk dia tampil membuat pengakuan.

“Tak kisahlah dalam bentuk video atau sidang media ke..cuma pihak kami berlapang dada jika dia mahu berjumpa bagi berbincang hal ini secara terperinci,” katanya.

Dalam pada itu, Dayana turut memaklumkan bahawa dia mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa lagu itu diciptanya.

Terdahulu, Naim meminta mana-mana individu yang mahu menuntut hak cipta bersama lagu Sumpah untuk mengemukakan bukti-bukti kukuh.

Naim mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi satu entri berbentuk video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

BACA: "Sila Kemukakan Bukti..." - Naim Buat Kenyataan Kerana Ada Yang Mengaku 'Sumpah' Hak Cipta Bersama?

Isu pertikaian hak cipta lagu Sumpah tercetus sekitar Julai tahun lalu apabila lagu itu dikatakan menceritakan kisah percintaan mereka.

Lagu Sumpah dikatakan dicipta bersama pada tahun 2015 ketika mereka sedang menjalin hubungan cinta.