Ceria Megastar kini kembali lagi dengan musim kedua bersama bintang cilik yang mempunyai bakat berbeza.

Ceria Megastar 2 ini menampilkan bintang dari pelbagai latar belakang di mana ada dikalangan mereka mempunyai pengalaman menyertai pertandingan bakat di peringkat antarabangsa dan juga yang pernah menyertai program anjuran saluran Astro Ria seperti Ceria Pop Star, i-Star, All Star dan Ministar.

Berbeza dari musim pertama, satu lagi kelainan pada musim ini adalah penyertaan secara berkumpulan dan berseorangan.

Seramai 20 orang peserta bakal bertanding untuk mempersembahkan bakat masing-masing bagi mendapat tempat juara sekaligus merebut gelaran ‘Megastar’ dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25,000.

Pemenang tempat kedua dan ketiga juga bakal pulang bersama wang tunai bernilai RM15,000 dan RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.

Mereka bakal dinilai melalui elemen persembahan, kreativiti, aspek penampilan dan faktor ‘wow’.

Menariknya selain Nabil Ahmad, kali ini Ceria Megastar turut dikendalikan oleh pengacara dan pelakon Raja Azura.

Manakala juri tetap bagi musim ini pula adalah Zizan Razak, Ernie Zakrie dan juri jemputan profesional pula akan diundang setiap minggu.

Dalam pada itu, penyanyi dan guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat, koreografer dan penari terkenal, Alam Wakaka serta juara Ceria Megastar 2018, Chubb-E dipilih sebagai penasihat persembahan.

Komposer terkenal, Datuk Acis pula menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi musim kali ini sama seperti musim lalu.

Ceria Megastar 2 bakal bermula pada Sabtu, 29 Februari 2020, jam 9 malam.

Program ini ditayangkan secara langsung menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631).

Ceria Megastar 2 juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.