Dua malam berturut-turut Ella dan Datuk Ramli Sarip bergabung dalam Konsert Kembara Kita 2020 yang berlangsung di Istana Budaya pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Persembahan memukau dan penonton yang 'full house' membuktikan bahawa kedua-duanya merupakan legenda yang hebat dan sukar digugat.

Bertemu dengan ratu rock negara, Ella yang tampak berseri dan sedikit berisi di majlis sidang media selepas konsert membuatkan ramai tertanya adakah dia sedang berbadan dua.

Gempak bertanya sendiri kepada Ella dan dia menggelengkan kepala sambil ketawa manja.

"Taklah, Ella tak mengandung. Biasalah berat Ella cepat naik dan cepat turun bergantung kepada masa dan keadaan.

"Kami ada merancang nak dapatkan anak dan Ella juga pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), tapi kena betul-betul rehat. Jadual Ella pula terlalu penuh, macam mana?" tanya Ella kembali sambil tersenyum.

Gempak juga mengambil kesempatan untuk bertanya soalan yang sama pada suaminya, Kapten Azhar Ghazali.

"Mungkin kita tengah 'enjoy life', kita makan, kita exercise, kita work out. Jadi mungkin masa orang nampak Ella berisi tu masa kita tengah seronok keluar makan sana sini.

"Tapi buat masa sekarang Ella tak mengandung. Kami menjalani hidup seperti biasa dan kalau ada rezeki, Alhamdulillah dan kalau sebaliknya pun kita tetap bersyukur dengan apa yang ada," tambah Azhar.

Ella dan Azhar mempunyai seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Shanome Az Zahra Azhar.

Berbalik kepada Konsert Kembara Kita 2020, Ella dan Datuk Ramli Sarip mempunyai perancangan untuk membawanya ke Singapura tetapi perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan.