Ketua juri Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) Ajai menegaskan pemilihan Hafiz Suip sebagai pemenang anugerah vokal terbaik adalah tepat.

Menurut Ajai, kekuatan vokal Hafiz sangat hebat kerana tak ramai penyanyi tanah air yang mampu sampai ke tahap itu.

“Bila bercakap tentang Hafiz Suip, ada satu benda yang penyanyi tak boleh buat iaitu apabila dia berhentikan muzik, dia tampil semula dengan nada dan feel yang sama, itu sesuatu yang hebat, tak ramai penyanyi boleh buat.

“Bila muzik tu diberhentikan, penyanyi stop sekejap kemudian kembali dengan feeling yang sama, hanya mereka yang terpilih sahaja mampu buat begitu,” kata Ajai kepada Gempak.

Ajai ditemui ketika sidang media AJL34 yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Ahad.

Tambah Ajai, selain Hafiz, ada beberapa penyanyi lain lagi yang menunjukkan kualiti vokal yang baik antaranya Ernie Zakri dan Aina Abdul.

“Memang kita tahu Ernie ada vokal yang bagus, teknikal skill dia hebat.



“Aina pula kekurangan dia adalah dari segi pengalaman. Mungkin lepas ni kalau dia banyakkan lagi menyanyi di pertandingan berprestij seperti ini, ruangan vokal Aina akan lebih berani,” kata Ajai lagi.

Selaku pemenang vokal terbaik menerusi lagu Kisah Cinta Kita, Hafiz membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 bersama trofi.

Selain Ajai selaku ketua juri, AJL34 turut diadili barisan tenaga profesional dan berpengalaman seperti Datuk Wah Idris, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi, Helen Yap, Edrie Hashim, Azmeer, Altimet dan Cat Farish.